KUALA Lumpur kini lega apabila sudah mendapat lampu hijau Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk beraksi pada waktu malam di venue rasminya, Stadium Cheras bagi saingan Liga Malaysia 2018.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, penilaian yang dilakukan pihak  FMLLP terhadap tahap pencahayaan lampu limpah di stadium itu tidak mempunyai masalah, namun ada beberapa perkara kecil yang perlu ditambahbaik pihaknya sebelum saingan liga bermula.

“Ya, soal stadium dan aksi di waktu malam sudah tiada masalah, tetapi ada beberapa perkara kecil yang mereka minta kami sediakan seperti peti sejuk, papan putih, kipas dan lain-lain.

“Kami  akan berusaha untuk mendapatkan bajet dalam minggu ini dan jika lulus, insya-ALLAH minggu depan semua kemudahan yang diminta itu akan disediakan.

“Tapi andai kata tiada bajet sekali pun, kami tetap aku menyediakan perkara-perkara kecil yang diminta itu. Jadi tidak ada masalah untuk itu,” katanya.

 Dalam pada itu, mengulas mengenai satu lagi kuota import yang masih belum diisi selepas gagal mendapatkan pemain dari Indonesia dan Singapura, Nokman berkata, pihaknya mungkin akan menutup pintu untuk kuota Asia Tenggara (Asean) tersebut pada jendela perpindahan pertama ini.

“Kita akan cari pengganti pemain tempatan sahaja untuk pemain yang gagal kami dapatkan sebelum ini.

“Buat masa sekarang mungkin kami tidak memerlukan kuota import Asean tersebut, tetapi saya tidak menolak kemungkinan ketika jendela perpindahan kedua nanti kami akan berusaha untuk mengisi keseluruhan lima kuota import yang dibenarkan.

“Apa pun semuanya bergantung kepada keperluan kita nanti,” katanya.

Source: www.sinarharian.com.my/sukan/aura-malam-stadium-cheras-bakal-kembali-1.784655

Leave a Reply