Peluang Kuala Lumpur melangkah ke peringkat separuh akhir Shopee Piala FA 2018 tetap ada walaupun berdepan laluan sukar selepas kekalahan 0-3 kepada Selangor pada aksi suku akhir pertama di Stadium Kuala Lumpur, kelmarin.

Enggan mengibarkan  bendera putih, Pengendalinya, Fabio Maciel percaya tempoh 90 minit yang bakal dilalui menjanjikan aksi sengit dari pasukannya untuk memastikan kemaraan ke kelompok empat terbaik.

Syazwan Andik dan Zaquan Adha mempamerkan semangat juang tinggi dan sering menghadirkan tekanan kepada pertahanan Selangor.

“Memang kami tewas, tetapi tidak bermakna peluang melangkah ke separuh akhir telah tertutup. Masih ada 90 minit yang perlu dihabiskan.

“Jadi dalam tempoh tersebut kami akan turun dengan bermati-matian memberikan cabaran kepada Selangor,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada masa sama, Maciel mengakui dua gol mudah separuh masa pertama yang dilepaskan tidak seharusnya berlaku dalam perlawanan seumpama ini.

“Gol pertama dan kedua berpunca dari kesilapan penjaga gol dan kurang persefahaman dengan rakan sepasukan, tetapi positifnya Kamarul mempamerkan aksi berkualiti pada separuh masa kedua dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya.

“Kami akan memperbaiki kelemahan ini namun sekarang tumpuan pasukan adalah untuk aksi Liga Super,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, dua gol dalam tempoh empat minit dijaringkan pemain import Selangor, Willian Pacheco dan Rufino Segovia meletakkan pasukan selesa dihadapan selepas 45 minit separuh masa pertama.

Walaupun beraksi dengan kekurangan seorang pemain selepas Guilherme De Paula dilayangkan kad merah pada minit ke 25 susulan tindak balasnya yang menumbuk Abdul Halim Zainal, tuann rumah berjaya melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan melalui Zaquan Adha dan Paula Josue serta Muhammad Syazwan Andik.

Segovia terus memastikan kemenangan mutlak pasukan apabila meledak gol pada penghujung perlawanan untuk meraih bekalan selesa menjelang aksi timbal balik yang akan diadakan di gelanggang yang sama.

Read full article on Sinar Harian

Leave a Reply