Utusan: Kilat KL pertahankan Piala FA KLFA

KUALA LUMPUR 15 Mei – Kelab Kilat Kuala Lumpur (Kilat KL) mempertahankan kejuaraan Piala FA Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) musim ini selepas menewaskan Pulapol FC 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Isnin lalu.

Ketua Jurulatih Kilat KL, Farliefirdaus Salim memuji persembahan anak buahnya yang berjaya mengekalkan momentum walaupun diberi tekanan hebat Pulapol sejak awal permainan.

“Alhamdulillah, kami berjaya mempertahankan kejuaraan musim ini.

“Terima kasih juga kepada semua yang terbabit terutama Pengurusan TNB kerana terus memberi sokongan kepada pasukan ini,” kata Farliefirdaus.

Dalam perlawanan akhir tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang ketika awal saingan sebelum Kilat KL mula mendahului lawan 2-0 hasil jaringan Saysupallan Vallu pada minit ke-16 dan Eugine Philip Abbah minit ke-20.

Babak kedua perlawanan dapat dilihat tekanan mula dirasai Pulapol FC yang berusaha menggandakan serangan bagi mendapatkan jaringan sebelum berjaya merapatkan kedududkan pada minit ke-61 menerusi gol daripada Mohd. Ashraf Hamidi.

Bagaimanapun, kedudukan 2-1 kekal memihak Kilat KL hingga wisel penamat sekali gus membolehkan mereka dinobat sebagai juara.

Selaku juara Kilat KL menerima wang tunai RM15,000 serta piala dan medal manakala naib juara, Pulapol FC membawa pulang RM7,000 serta medal.

Read full article on Utusan Online

Leave a Reply