Pengendali Kuala Lumpur, Fabio da Silva mengakui aksi mantap yang ditampilkan penjaga gol barunya, Mohd Sharbinee Allawee Ramli ketika melayan kunjungan Terengganu menjadi antara kunci kejayaan pasukannya meraih tiga mata di depan penyokong sendiri, semalam.

Pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu, The City Boys menang 3-0 hasil jaringan Zhafri Yahya pada minit ke-45, Guilherme De Paula (m-47) dan Paulo Josue (m-81).

“Terima kasih kepada Sharbinee. Dia banyak menyelamatkan gawang kami dan dia melakukan kerja dengan cemerlang untuk menafikan gol lawan,” katanya.

Jelas bekas pengendali Timor Leste yang berasal dari Brazil itu lagi, kerja keras pemain sepanjang persiapan juga berjaya meningkatkan persembahan pasukan terutama selepas diaibkan Pahang 4-0 di Kuantan, 25 Mei lalu.

“Kami tahu kualiti yang ada pada Terengganu. Mereka pasukan bagus dibarisi pemain-pemain hebat dan antara pasukan konsisten dalam Liga Super.

“Kami sedar ia perlawanan yang sukar dan pasukan mengadakan persiapan rapi terutamanya dalam situasi bola mati. Pada sesi latihan Khamis lalu, kami menumpukan lebih kepada situasi bola mati kerana itu kelemahan terbesar selepas tewas besar di tangan Pahang tempoh hari.

“Saya gembira dengan keputusan ini dan percaya kami akan tampil lebih berbisa dalam aksi berikutnya nanti,” katanya.

Menerusi kemenangan itu, Kuala Lumpur berjaya memanjat tiga anak tangga apabila berada di kedudukan ketujuh liga dengan mengumpul 16 mata dan dijadualkan bertemu Melaka United di gelanggang sendiri Selasa ini.

 

By Firdaus Hashim

Read full article on Berita Harian Online

Leave a Reply