Melaka United (MU) gagal mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas tewas 2-4 di tangan Kuala Lumpur (KL) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Apapun kelebihan bersaing di gelanggang sendiri digunakan MU pada babak pertama menerusi tandukan pemain  import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun seawal minit kelima hasil hantaran Khair Jefri Jones untuk ceria mendahului pelawat.

Malah aksi 15 minit pertama memperlihatkan sentuhan garang tuan rumah untuk menguasai permainan namun KL bijak mengambil alih penguasaan selepas itu.

Hasilnya pemain berpengalaman Liga Malaysia, Indra Putra Mahayuddin menanduk masuk gol penyamaan hasil hantaran lintang Guilherme de Paula pada minit ke-30.

MU kembali menambah jaringan pada minit ke-41 selepas Olusegun menanduk masuk gol kedua peribadi dalam perlawanan terbabit selepas menyambut hantaran lintang R Gopinathan.

Babak kedua menyaksikan KL seperti mendapat rentak sebenar apabila penyerang kebangsaan Mohd Zaquan Adha Abd Razak menolak masuk gol penyamaan pada minit ke-56 menewaskan Mohd Zamir Selamat.

Zaquan terus menjadi ‘duri dalam daging’ buat skuad tuan rumah apabila mendapat sepakan penalti dan De Paula nyata tidak bermasalah merembat masuk gol ketiga buat KL.

Skuad warga kota terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Zhafri Yahya dilayangkan kad merah pada minit ke-69 namun cubaan Lee Chang Hoon (m-72) sekadar terkena tiang gol diikuti rembatan Yahor Zubovich pada minit ke-79 tinggi melepasi palang gol.

Serangan balas pantas KL ketika MU giat mengasak membolehkan Indra Putra menolak masuk gol keempat pelawat pada minit ke-83 perlawanan sekali gus menebus dendam kekalahan 3-4 di Cheras minggu lalu.

 

BY Nazri Abu Bakar

Read full article on Berita Harian Online

Leave a Reply