Perak mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas mudah membelasah Kuala Lumpur 5-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Anak buah Mehmet Durakovic itu nyata serius untuk muncul naib juara Liga Super sekali gus berpeluang mengisi slot ke pusingan kelayakan Liga Juara Juara Asia (ACL) seandainya rayuan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang sebelum ini digantung dua tahun daripada memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), ditolak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perak menguasai permainan dan kerap mengancam kubu pertahanan lawan sementara Kuala Lumpur hanya bergantung kepada hantaran panjang untuk melancarkan serangan.

Corak permainan bertenaga Perak menyaksikan mereka memecah kebuntuan seawal minit keenam menerusi ‘ihsan’ pertahanan Kuala Lumpur yang melakukan kesilapan dan Gilmar menyumbat gol pembukaan sekali gus menamatkan kemarau jaringan dalam empat perlawanan.

Tiga minit berselang, kesilapan pertahanan sekali lagi membawa ‘bala’ buat Kuala Lumpur apabila terjahan keras pemain tuan rumah ke atas Nor Hakim Hassan menyebabkan sepakan penalti dihadiahkan dan Wander Luiz tidak berdepan masalah menyempurnakannya menerusi tendangan leret ke sebelah kiri Sharbinee Allawee untuk gol kedua pelawat hanya selepas 10 minit perlawanan.

Dua gol awal itu nyata membakar semangat Perak dan larian deras Nor Hakim selepas menerima hantaran Nasir Basharuddin gagal disekat pertahanan Kuala Lumpur dan pemain sayap itu berjaya menghadiahkan gol ketiga Perak pada minit ke-16.

Pelawat terus ‘membuli’ Kuala Lumpur apabila tiba giliran Nazrin Nawi mencetak nama selaku penjaring keempat buat Perak pada minit ke-35.

Kuala Lumpur cuba mengasak pada lima minit terakhir separuh masa pertama namun tiga percubaan dari Guillherme de Paula tidak mendatangkan masalah dan mudah diselamatkan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim.

Perak yang masih dibuai prestasi hebat separuh masa pertama dikejutkan dengan gol pantas pelawat apabila Guilherme de Paula mengurangkan defisit dengan menyumbat gol pertama Kuala Lumpur hanya 30 saat selepas babak kedua bersambung.

Kedua-dua pasukan melakukan beberapa percubaan pada baki 30 minit terakhir perlawanan namun gagal menembusi kubu lawan sebelum Perak sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti kerana bola terkena tangan pertahanan tuan rumah dan Gilmar tenang menyempurnakannya untuk gol kelima Perak pada minit akhir perlawanan.

Leave a Reply