Terengganu memberikan isyarat awal kepada pesaing dalam Unifi Piala Malaysia 2018 apabila menjadikan Kuala Lumpur sebagai mangsa selepas menang mudah, 5-1 pada aksi Kumpulan A di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), sebentar tadi.[

Tiga gol dijaringkan Kipre Tchetche (m24, m55 dan m71), Lee Andrew Tuck (m44), dan  Igor Zonjic (m63) melengkapkan malam gemilang skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim.

Kemenangan ini juga melenyapkan badi kekalahan Terengganu pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dalam saingan Liga Super sebelum ini .

Pada perlawanan yang berlangsung sebentar tadi, Kuala Lumpur lebih banyak mendominasi perlawanan hasil gandingan Paulo Josue, Guilherme De Paula serta Mohamad Zaquan Adha Abd Razak khususnya dibahagian tengah.

The Hawks terlebih dahulu menguji benteng terakhir pelawat, Mohd Suffian Rahman Kungi Raman melalui sepakan percuma De Paula dari luar kotak penalti yang berjaya ditangkas kemas Mohd Suffian pada minit ke 13.

Selang lima minit kemudian palang gol menjadi penghalang buat De Paula meraikan jaringan buat tuan rumah apabila tandukan pemain prolifik ini mengegarkan palang ketika Mohd Suffian sudah pun tertewas.

Tersentak dengan serangan tersebut, anak didik Irfan Bakti Abu Salim memperkemaskan corak permainan dan memiliki peluang keemasan pada minit ke 20 namun tindakan susulan Adib Aizuddin Ab Latif yang berada dalam kotak penalti dan tidak dikawal membuat sepakan liar melepasi palang gol.

Gol pertama perlawanan akhirnya menjadi milik Sang Penyu apabila Ketua Pasukan, Kipre Tchetche mudah menolak masuk bola hantaran lintang rakan sepasukan untuk menewaskan bekas penjaga gawang Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli pada minit ke 24.

Terengganu yang mendapat gol pertama terus memberikan tekanan kepada The City Boy hingga memaksa beberapa kekasaran berlaku ke atas pemain pelawat.

Pemain tengah Terengganu, Lee Andrew Tuck terus meletakkan pasukan selesa ketika perlawanan berbaki satu minit separuh masa pertama apabila meledak gol kedua hasil sepakan percuma dari jarak 40 meter untuk menewaskan Mohd Sharbinee buat kali kedua.

Memasuki babak kedua, pelawat tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol ketiga melalui  Kipre Tchetche pada minit ke 55 sebelum selang lapan minit kemudian pertahan import Terengganu, Igor Zonjic mencatatkan nama selaku penjaring gol keempat buat pasukan.

Kipre Tchetche terus menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan hatrik  dan kelima buat Terengganu minit ke 71 sebelum Kuala Lumpur memperolehi gol saguhati melalui Mohd Zaquan Adha pada minit ke 81.

 

Read full article on Sinar Harian.

Leave a Reply