Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur dengan kerjasama Institut Perguruan (IPG) Kampus Ilmu Khas telah menganjurkan program Projek REF-Xclusive yang berlangsung di IPG Kampus Ilmu Khas, Cheras.

Projek REF-Xclusive merupakan sebuah projek perintis dalam melahirkan pengadil-pengadil muda daripada kalangan atlet sukan institut perguruan serta memantapkan mutu pengadilan dari peringkat akar umbi.

Hadir menyempurnakan majlis, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa yakin dengan langkah diambil dapat membantu melahirkan lebih ramai pengadil muda serta memberi peluang mereka menjadikan ia sebagai kerjaya sampingan.

Jelasnya, ia selaras dengan hasrat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melahirkan lebih ramai pengadil berkualiti dan bertaraf antarabangsa serta seiring visi IPG sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan guru.

“Bagi merealisasikan impian ini, persatuan komited menjadi peneraju kepada pembangunan pengadil muda dan berbesar hati memilih IPG KIK sebagai permulaan projek.

“Untuk pengetahuan semua, melahirkan pengadil tidak mudah seperti disangka kerana tahap fizikal mahupun stamina bukan pengukur sebenar sebaliknya pengadil sekarang harus mempunyai mentaliti yang bagus serta tidak mudah dipengaruh,” katanya lagi.

Nokman turut berkongsi pendapat mengenai mutu pengadilan sekarang jauh lebih baik namun harus dipertingkatkan supaya sebarang tindakan diambil ketika mengadili perlawanan tidak memihak kepada mana-mana pihak.

Beliau percaya dengan adanya program sebegini mutu pengadil akan bertambah baik serta membuka peluang kepada pengadil baharu untuk melangkah ke peringkat lebih jauh seperti antarabangsa.

“Saya juga berharap pada suatu masa dapat melihat anda (peserta) sebagai pengadil yang mengadili perlawanan di peringkat negara mahupun antarabangsa,” ujarnya lagi.

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur antara persatuan yang komited melahir serta menyediakan pengadil-pengadil bermutu tinggi kepada FAM.

Leave a Reply