Budaya politik wang seharusnya tidak lagi diamalkan oleh mana-mana pihak kerana ia meninggalkan kesan buruk yang begitu dalam.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa memberi amaran keras kepada mereka yang mengamalkan budaya tersebut menjelang pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur Ke-31.

“Secara umumnya kita semua tahu menjelang suatu pemilihan tidak kira diperingkat akar umbi atau majlis tertinggi sudah pasi budaya tersebut akan muncul secara tiba-tiba.

“Jadi, saya ingin mengambil inisiatif untuk menasihati kepada mereka yang bertanding mana-mana jawatan supaya tidak membudayakan politik wang kerana sesebuah pemilihan harus berlangsung dengan bersih,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu untuk tidak teragak-agak melaporkan kepada Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terdapat aduan daripada mana-mana pihak berkenaan budaya tidak sihat itu.

Jelasnya, pihak persatuan sangat mengambil berat mengenai hal tersebut kerana ia akan menjejaskan ramai pihak termasuk pasukan Kuala Lumpur yang masih mengambil bahagian dalam Liga Malaysia.

“Jika mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh berkenaan budaya politik wang boleh berjumpa dengan saya untuk kita melaporkan bersama kepada pihak berwajib,” katanya.

Nokman memberitahu bahawa Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur mempunyai objektif yang selari dengan kerajaan iaitu membanteras budaya rasuah dalam apa jua bentuk.

Pemilihan Presiden dan barisan ahli eksekutif akan diadakan pada Kongres Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur Ke-31, 18 November depan.

Leave a Reply