Pasukan Liga Super Kuala Lumpur telah memulakan latihan pertama mereka bagi persiapan menghadapi Liga Malaysia 2019 yang dijangka bermula pada awal tahun hadapan.

Sesi latihan pertama pasukan Kuala Lumpur masih dikendalikan oleh pemangku Ketua Jurulatih, Chong Yee Fatt serta dibantu barisan kejurulatihan tahun 2018.

Menurut Chong Yee Fatt, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengendalikan latihan pra musim tersebut kerana beranggapan ia adalah tanggungjawab kerja dan harus profesional.

“Walaupun pihak persatuan sedang mengalami sedikit masalah dalaman namun prestasi pasukan harus diutamakan supaya kita dapat memberikan saingan sengit untuk Liga Malaysia 2019.

“Seperti yang dapat dilihat kita masih mengekalkan ramai pemain tahun 2018 dan mungkin ditambah beberapa pemain dari luar bagi mengukuhkan lagi prestasi pasukan,” jelasnya.

Pada petang tersebut turut kelihatan ketua pasukan Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin dan beberapa pemain seperti Sharbinee Allawee Ramli yang masih menjalani latihan bersama walaupun terdapat berita mereka akan berhijrah.

Persiapan awal bagi menghadapi Liga Malaysia 2019 merupakan inisiatif diambil oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur untuk memperbaiki rekod musim lalu yang mengakhiri Liga Super 2018 ditempat ke-10.

Leave a Reply