Sylvano Dominique Comvalius atau lebih dikenali sebagai Comvalius menjadi pemain asing keempat pasukan Kuala Lumpur dalam persediaan Liga Malaysia 2019 tidak lama lagi.

Pemain kelahiran Belanda berusia 31 tahun itu antara nama mencuri perhatian peminat bola sepak Asean selepas berjaya menjadi penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia pada tahun 2017 sebelum berhijrah ke Liga 1 Thailand awal tahun ini.

Kemasukan Comvalius membuktikan pasukan Kuala Lumpur tidak memandang rendah Liga Malaysia 2019 apabila ingin terus kekal dan memberikan saingan lebih menarik.

Comvalius turut menyatakan hasrat beliau untuk membantu pasukan Kuala Lumpur seperti mana yang telah dilakukan oleh beliau ketika di Indonesia dan Thailand.

“Saya akan memberikan aksi yang terbaik buat Kuala Lumpur pada tahun 2019 seperti mana yang telah dilakukan ketika menyarung jersi pasukan Bali United dan Suphanburi FC,” jelasnya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Comvalius turut teruja melihat rakan-rakan sepasukan yang sedang giat menjalani latihan pra musim dan berjanji akan berkerjasama dengan semua pemain tempatan termasuk pemain asing.

Jentera serangan Kuala Lumpur pada tahun hadapan dilihat akan lebih menyerlah dengan gandingan Comvalius, De Paula, Indra Putra Mahayuddin dan juga Paulo Josue.

Leave a Reply