Persoalan mengenai jawatan ketua jurulatih pasukan Kuala Lumpur akhirnya terjawab apabila Yusri Che Lah secara rasminya telah diumum oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur sebagai individu dipilih bagi mengendali pasukan ibu kota.

Yusri membuat keputusan untuk mengendali pasukan The Hawks sejurus pulang dari Mekah meskipun sebelum ini beliau dikaitkan dengan berita kekal di Kelantan.

Dalam satu sidang media, Yusri memberitahu beliau memilih untuk mengendali pasukan Kuala Lumpur kerana melihat kesungguhan pihak pengurusan melamar beliau sejak berakhirnya musim 2018.

“Pihak persatuan sudah lama berbincang perkara ini namun keputusan tidak dibuat terburu-buru kerana saya masih mempunyai kontrak bersama pasukan terdahulu.

“Kini saya mempunyai tugas baru iaitu memperkuatkan lagi pasukan Kuala Lumpur yang dibarisi hampir 80 peratus pemain musim 2018,” katanya.

Tambah beliau, barisan pemain yang masih bersama tidak kurang hebatnya cuma perlu sedikit sentuhan untuk membolehkan Kuala Lumpur memperbaikki rekod musim 2018 iaitu berada ditangga ke-10 liga.

Yusri juga berharap para pemain dan barisan kejurulatihan dapat memberikan kerjasama yang terbaik bagi memastikan Kuala Lumpur mencapai sasaran.

Leave a Reply